Cuti atau tidak? Ada buat kering sebelum ini, tapi sekarang dia paling lantang

Oleh HERMAN HAMID

BERCUTI seketika atau bertugas macam biasa?

Apabila seseorang berprofil tinggi sama ada pemimpin politik atau pengurusan tertinggi awam sedang disiasat, isu ini pasti timbul.

Begitu juga dalam apa yang sedang dilalui Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sekarang.

Antara yang lantang menggesa Azam bercuti seketika menanti siasatan selesai adalah mereka yang tidak pun berbuat demikian ketika melalui situasi sama seperti bos SPRM.

Malah lebih dahsyat, mereka kekal memegang jawatan ketua kerajaan negeri dan jawatan lain dalam kerajaan meskipun sudah dituduh di mahkamah.

Sedangkan tujuan berehat seketika adalah bagi mengelak seseorang yang berkuasa menggunakan pengaruh mereka.

Ini sekali gus membolehkan ketelusan siasatan dilihat cantik kerana undang-undang bukan hanya perlu dilaksanakan bahkan dilihat dilaksanakan.

Namun sayangnya, di Malaysia kelaziman ini tidak konsisten kebelakangan ini.

Kena diri sendiri, cepat-cepat kata tuduhan politik. Tak perlu berehat.

Bahkan ada dilantik protfolio penting ketika tuduhan ke atasnya masih dibicarakan.

“Jika si A boleh, tak kan si B tidak boleh.”

Perkara inilah yang diingatkan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Tan Sri Rais Yatim dalam sidang akhbarnya hari ini.

Berpandangan Azam wajar bercuti tetapi pada masa sama beliau juga bangkitkan amalan kebelakangan ini yang mana ada yang menjalankan tugas seperti biasa.

Bahkan mereka berdepan pertuduhan jenayah, dan ini berbeza dengan situasi dilalui Azam yang mana kata Rais, ramai berpandangan ini mungkin lebih kepada soal salah laku.

“Ada juga pihak yang lebih tinggi sebelum ini yang disiasat tetapi tak ambil cuti. Ini perlu saya sebut. Ada dua situasi depan kita,” kata Rais.

Sebab itu kepada pimpinan politik, di saat telunjuk lurus, jari yang lain juga kena ikut sama lurus.

Barulah cakap tu ada kredibiliti. – UTUSANTV


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *