KEJAYAAN Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah berjaya membawa semua negeri di Malaysia ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kepelbagaian peluang ekonomi yang lebih baik daripada era sebelum pandemik merupakan pelaburan yang amat menarik kepada para pelabur.
Kesemua itu telah menjadikan negara lebih dari bersedia dan terbuka untuk menjalinkan hubungan dagang walaupun sempadan antarabangsa masih ditutup, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu berkata, beliau yang ditugaskan menerajui usaha pemulihan pasca pandemik akan menyusun hala tuju dikenali Pelan Pemulihan Nasional 2.0.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, Pelan Pemulihan Nasional 2.0 adalah kesinambungan strategi keluar empat fasa menerusi Pelan Pemulihan Nasional terdahulu yang dimuktamadkan pada Disember lalu.
Muhyiddin berkata, pelan berkenaan bakal melakarkan laluan pemulihan inklusif dan sistematik yang akan melonjakkan Malaysia ke tahap lebih tinggi supaya negara bangkit semula, lebih kuat berbanding sebelum pandemik.
“Jelas sekali banyak peluang untuk bangunkan semula ekonomi dan masyarakat kepada sesuatu lebih baik berbanding era prapandemik.
“Cadangan nilai kami kepada pelabur adalah kukuh: ekosistem pelaburan kami teguh, kemudahan menjalankan perniagaan bertambah baik, pemulihan pandemik sedang dijalankan, infrastruktur fizikal dan digital kami sentiasa dinaik taraf.
“Selain itu, kumpulan bakat kami luas dan mendalam, kekuatan institusi kami adalah kukuh, asas ekonomi kami cemerlang dan diiktiraf di peringkat global,” katanya pada majlis jamuan makan tengah hari bersama lebih 30 pemain industri antarabangsa di Ekspo Dubai, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga berharap lebih banyak perniagaan bakal melabur di Malaysia, manakala syarikat tempatan pula akan meneroka peluang bukan sahaja di Emiriah Arab Bersatu tetapi merentasi Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
“Marilah kita menempa kejayaan bersama-sama untuk masa depan yang lebih bermakna, bukan sahaja ketika pandemik tetapi dalam fasa endemik dan seterusnya.
“Kerja keras menanti kita. Ketika Tahun Baharu ini berlangsung, kerjasama dan perpaduan akan menjadi kunci jika kita tidak mahu melihat kembali tahun bermasalah ini.
“Pilihan di tangan kita, berdiri bersama atau jatuh sendiri. Saya berada di pihak yang optimis,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Leave a Reply