KOREA Selatan akan mula merawat pesakit Covid-19 dengan ubat antivirus Pfizer mulai esok berikutan kebimbangan terhadap varian Omicron yang dikatakan lebih mudah berjangkit.
Agensi Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) berkata, sekurang-kurangnya 21,000 pil yang dipanggil ‘Paxlovid’, dijangka tiba dan akan diedarkan kepada hampir 280 farmasi dan 90 pusat rawatan di seluruh negara itu.
Menurut laporan agensi berita, KDCA berkata ubat tersebut akan digunakan untuk merawat lebih 1,000 orang setiap hari dengan keutamaan akan diberikan kepada pesakit berisiko tinggi dan berusia 65 ke atas.
Paxlovid mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 90% untuk mengelak kemasukan hospital dan kematian dalam kalangan pesakit yang mempunyai risiko tinggi kerana mempunyai penyakit teruk. Pfizer juga berkata berdasarkan data yang dikumpul, ubat tersebut berkesan terhadap Omicron.
Sejak kebelakangan ini, Korea Selatan melakukan usaha untuk mengawal jangkitan daripada varian Omicron seperti meluluskan pengambilan vaksin Novavax pada Rabu lalu.
KDCA melaporkan, rekod baru kes import Covid-19 pada hari Rabu lalu ialah 391 daripada 4,167 jangkitan.
Ketika pandemik bermula, ,Korea Selatan antara negara yang berjaya mengawal Covid-19 dengan 679,030 kes secara menyeluruh dan 6,210 kematian berikutan pelaksanaan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.
Daripada jumlah keseluruhan kes Korea Selatan, hanya terdapat sejumlah kecil berkaitan jangkitan Omicron namun jumlah tersebut meningkat 3 kali ganda sejak dua minggu lalu.
Pertubuhan-pertubuhan kesihatan memberi amaran bahawa kes Omicron akan menjadi dominan pada bulan ini seperti apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah.
Kerajaan Korea Selatan akan mengumumkan Jumaat ini sama ada untuk melanjutkan lagi tempoh penjarakan sosial yang mula dilaksanakan pada pertengahan bulan lalu selepas kes di negara itu meningkat sehingga 8,000 kes.
Berdasarkan data KDCA, lebih daripada 84.4% daripada rakyat Korea Selatan sudah divaksin penuh dan 43.1% telah mengambil suntikan booster sejak Rabu lalu.
Leave a Reply