Lelaki 84 tahun ditahan, ambil suntikan vaksin 12 kali untuk hilangkan sakit sendi

SEORANG lelaki warga emas di India ditahan oleh polis selepas mengambil vaksin sebanyak 12 kali dalam tempoh 11 bulan.

Portal Dailymail melaporkan, Brahamdev Mandal, 84 berkata, dia ingin menjadi lebih kuat dan mendakwa  pengambilan vaksinnya itu bagi menghilangkan sakit sendi dihidapinya  sejak 8 tahun lalu.

“Pengambil Vaksin Bersiri” itu mendaftar untuk temu janji vaksin menggunakan kad pengenalan orang yang berbeza-beza.

Kebanyakan negara mensyaratkan sebanyak dua dos untuk setiap warganegara mereka untuk mendapat status divaksin sepenuhnya dengan tambahan satu dos booster.

Austria mula mengedarkan dos keempat kepada golongan tertentu seperti pekerja dalam bidang kesihatan manakala Turki menawarkan dos kelima kepada rakyatnya.

Namun, 12 dos yang diambil oleh Mandal tidak digalakkan oleh badan-badan kesihatan.

Warga India itu juga menunjuk-nunjuk tentang pengambilan vaksinnya yang banyak itu kepada orang lain melalui saluran penyiaran BBC.

“Saya dah ambil vaksin dan saya galakkan semua orang mengambilnya. Ia agak bagus untuk kita. Kerajaan telah mengambil langkah yang baik dan vaksin juga membantu kurangkan sakit belakang. Paras oksigen  saya juga meningkat dan saya tidak dijangkiti selesema ,” kata Mandal yang mendakwa mendapat sembilan  suntikan itu menggunakan kad pengenalan sendiri.

Menurut pegawai polis di Puraini, Deepak Chandra Das, Mandal ditahan di bawah Kanun Keseksaan namun mungkin diberikan hukuman ringan kerana faktor usia.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *