Oleh RAHIMI MOHAMAD
SAMA ada mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat atau tidak perlu dijelaskan dengan terang oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad tanpa perlu berdolak-dalik, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan.
Menurut Aminolhuda, penjelasan itu setidak-tidaknya dapat melenyapkan khabar angin yang bertiup ketika ini dan kembali fokus terhadap isu lebih utama iaitu membantu rakyat terjejas Covid-19 dan bencana banjir serta memulihkan ekonomi negeri jika tiada PRN.
Katanya, disebabkan spekulasi PRN yang kini berlegar, fokus kerajaan negeri untuk memajukan negeri dan membantu rakyat akan terganggu dan beralih kepada mendapatkan kuasa dan lobi-melobi untuk bertanding.
“Maklum balas Menteri Besar mengenai akan berlakunya PRN dalam tempoh terdekat atau tidak kurang jelas dan seakan-akan berdolak-dalik dalam hal ini sedangkan desas-desus tersebut bermula dari parti mereka juga.
“Umumkan segera tarikhnya jika benar mahu PRN diadakan, jadilah ‘gentleman’. Ini secara tidak langsung membolehkan ‘politiking’ keterlaluan ketika ini dihentikan seterusnya dapat memberi tumpuan kepada rakyat yang terjejas serta pemulihan ekonomi negeri,” katanya seperti dilaporkan beberapa media, hari ini.
Tambah Aminolhuda, satu perincian yang jelas mengenai perkara itu juga perlu dilakukan sekaligus memudahkan pelbagai pihak membuat persediaan sekiranya PRN tetap terpaksa diadakan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun Aminolhuda berkata, PH Johor tetap dengan pendirian memberi jaminan kepada kerajaan negeri bahawa tidak akan mengganggu gugat kestabilan politik negeri saat ini.
Menurut Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu lagi, pembangkang pada masa sama bersedia berganding bahu bersama kerajaan negeri dalam membantu rakyat melalui waktu yang mencabar ketika ini.
“PH Johor tidak mahu PRN diadakan dalam keadaan rakyat dan ekonomi negeri yang masih belum stabil kerana ia hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat selain memberi persepsi buruk terhadap semua parti dan ahli politik.
“Fokus dan keutamaan kita seharusnya kepada rakyat dan memulihkan ekonomi negeri selain Covid-19, sehinggalah cukup penggal nanti. Ketika itu semua pihak terutama rakyat sudah bersedia jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan,” katanya.
Leave a Reply