Abang Viva dapat motosikal pula

IBARAT besi baik tiada berkarat, begitu jugalah resam budi baik akan selamanya dihargai.

Jasa yang ditaburkan oleh Abang Viva atau nama sebenarnya, Azwan Omar, 29, kepada mangsa banjir di Selangor baru-baru ini terus mendapat penghargaan yang mana sebelum ini dia dihadiahkan sebuah kereta pacuan empat roda (4×4) kini, dia diberikan pula sebuah motosikal jenis Yamaha XJ6S beserta aksesori lain.

Azwan ketika mengesahkan perkara itu berkata, dia tidak menyangka akan dihadiahkan motosikal berkenaan apabila dia dihubungi oleh sebuah syarikat jual beli motosikal untuk membawa pulang hadiah tersebut.

“Ia satu kejutan, mereka hubungi saya untuk datang ambil, kebetulan saya berada di Kuala Lumpur jadi saya terus pergi sahaja,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai identiti pemberi, Azwan mengambil keputusan untuk merahsiakan perkara itu terlebih dahulu.

“Biarlah rahsia dulu, nanti saya akan terangkan semuanya menerusi ‘live’ di media sosial untuk semua orang jelas berkenaan dengan hadiah motor dan juga 4×4 itu,” ujarnya.

Dia bersyukur dan gembira apabila menerima hadiah berkenaan selain memaklumkan untuk menggunakan motosikal itu untuk urusan kerja.

“Sememangnya saya gembira dapat motor. Saya akan guna untuk urusan pergi dan balik kerja, nak bantu orang memang tak dapat kalau dengan motorsikal sahaja,” selorohnya.

Menurut Azwan lagi, biarpun banjir di kebanyakkan tempat telah reda serta air sudah surut, dirinya masih lagi meneruskan usaha menghulurkan bantuan pasca banjir kepada mangsa-mangsa di beberapa kawasan yang terjejas sehingga hari ini.

Pada 25 Disember lalu, seorang usahawan, Sha Hassan dilaporkan berhasrat untuk menghadiahkan sebuah kereta 4×4 tanpa sebarang syarat kepada Azwan bagi memudahkan urusannya menjalankan misi bantuan dengan lebih lancar.

Menerusi satu sesi siaran langsung di akaun Facebook ‘unsung hero’ itu pada Khamis lalu, Azwan memaklumkan telah mengambil keputusan untuk menerima hadiah tersebut setelah menilai kehikhlasan usahawan berkenaan ketika berbincang mengenai tawaran tersebut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *