Sindiket judi online beroperasi di kondominium mewah tumpas

BERSEMBUNYI di sebalik kondominium mewah untuk menjalankan aktiviti perjudian online untuk mengaburi pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik yang digunakan satu sindiket di Pulau Pinang itu berjaya dikesan polis yang menyerbu dua unit kondominium mewah di Persiaran Gurney dan Jalan Kelawei pada Jumaat lalu dan menahan seramai 23 ahli sindiket berkenaan.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, serbuan pertama pukul 5.25 petang 7 Januari lalu berjaya menahan seramai 13 individu masing-masing 10 lelaki dan tiga wanita berumur antara 19 hingga 31 tahun.

Katanya, susulan kedua pula berjaya menahan seramai 10 lagi individu iaitu sembilan lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 16 hingga 27 tahun.

Jelas beliau, kesemua yang ditahan bekerja sebagai ejen yang mempromosikan sindiket perjudian online itu dan dibayar  antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan selain dijanjikan lima peratus komisen jika pelanggan kalah dalam  perjudian tersebut.

“Sindiket itu dipercayai mengambil pekerja golongan muda yang mahir dalam dunia  komputer dan baru bekerja antara seminggu hingga sebulan.

“Malah ada antara pekerja itu juga pernah ditahan di atas kesalahan yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

Menurut Mohd. Shuhaily, sindiket itu dikesan bergiat aktif sejak pertengahan bulan lalu dan beroperasi antara pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam setiap hari.

Ujarnya, para pelanggan pula dipancing menerusi media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan Telegram secara berkongsi pautan kepada perkhidmatan perjudian yang ditawarkan.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian termasuk 85 unit telefon bimbit; 18 unit komputer riba; lapan set desktop komputer, 49 keping kad sim dan dua buah kereta jenis Honda,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a); Seksyen 4(1)(b), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *