Saringan COVID-19 secara bergilir untuk murid dilaksanakan di rumah – Radzi

SARINGAN COVID-19 yang dilaksanakan setiap minggu secara bergilir kepada murid sekolah rendah boleh mula dilakukan di rumah mulai minggu ini.

Keputusan tersebut dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin selepas mendapat persetujuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Radzi, kit ujian kendiri itu akan disediakan pihak sekolah kepada murid yang terpilih secara rawak.

Radzi berkata, tatacara pelaksanaan ujian tersebut akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam kenyataan media dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

“Berdasarkan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan KKM, seramai 10 peratus murid dipilih secara rawak setiap minggu untuk menjalani ujian kendiri COVID-19 yang dilaksanakan di sekolah telah pun bermula sejak 1 Disember lalu.

“Susulan itu, Kementerian Pendidikan telah berbincang dengan KKM untuk pendekatan pelaksanaan ujian ini, maka KKM bersetuju membenarkan saringan ini dilaksanakan di rumah dan keputusan dimaklumkan kepada pihak sekolah.

“Pendekatan baharu ini akan mula dilaksanakan minggu ini dengan Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan kenyataan media berhubung perkara tersebut,” katanya dalam rakaman video dimuat naik ke Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi turut menegaskan supaya ibu bapa dapat melaksanakan ujian saringan COVID-19 itu berdasarkan tatacara yang telah ditetapkan.

Kata beliau, ia bagi memastikan sesi persekolahan dapat berlangsung dengan teratur dan selamat.

“Jika ia tidak dilaksanakan mengikut tata cara yang ditetapkan, yang akan terkesan bukan sahaja anak saudara saudari tetapi kawan-kawan mereka serta guru-guru mereka di sekolah.

“Oleh yang demikian, adalah amat penting apabila kita mulakan pelaksanaan pendekatan baharu ini, ibu bapa memainkan peranan untuk memastikan pengujian ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan kita dapat mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan KKM.

“Kita ingin memastikan sesi persekolahan dapat terus berlangsung dengan selamat dan saya yakin dengan usaha serta kerjasama daripada ibu bapa, kita dapat bersama-sama memastikan anak-anak dapat hadir ke sekolah dalam keadaan teratur dan selamat,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *