SEORANG bekas Pengerusi Mara Incorporated Sdn. Bhd. dilepas dan dibebaskan (DNAA) Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM10 juta.
Keputusan itu dibuat Hakim Suzana Hussin selepas membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk DNAA kes itu terhadap Datuk Mohammad Lan Allani, lapor Sinar Harian.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Allan Suman Pillai berkata, ia melibatkan kes AMLA dan tertuduh akan didakwa semula di Sabah sama ada Februari atau Mac depan.
Ia tidak mendapat bantahan daripada peguam, Datuk K. Kumarendran dan Teh See Khoon yang mewakili Mohammad Lan.
Bagaimanapun, See Khoon memohon agar ikat jamin anak guamnya dapat dikurangkan daripada RM400,000 kepada RM300,000.
“Ikat jamin yang dikurangkan itu akan digunakan oleh anak guam saya bagi kes yang dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu kelak.
“Mahkamah mempunyai autoriti sama ada menaikkan, mengekalkan atau mengurangkan ikat jamin, malah ia adalah bersifat berterusan,” katanya.
Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaidi dan Mohd. Shahrom Idris.
“Bagaimanapun, syarat-syarat lain yang dikenakan terhadap tertuduh dikekalkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Allan Suman turut memohon agar perbicaraan 20 lagi pertuduhan terhadap Mohammad Lan yang dijadualkan bermula 24 Januari ini, dilapangkan.
Ini kerana, katanya, pihak pendakwaan memerlukan sedikit masa untuk mengemas kini senarai saksi yang sebelum ini ditetapkan seramai lebih 70 orang kepada kira-kira 30 saksi sahaja.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh perbicaraan pada 23 Mei depan.
Pada 5 Februari tahun lalu, Mohammad Lan didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam AMLA.
Ia membabitkan pemindahan wang RM10 juta daripada akaun Private Banking Portfolio CIMB Bank miliknya ke akaun semasa dan akaun simpanan tetap CIMB Bank Berhad juga milik tertuduh, yang merupakan hasil aktiviti haram di CIMB Bank Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, pada 10 Disember 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) (AMLA) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mohamad Lan juga didakwa didakwa atas 20 pertuduhan rasuah berjumlah RM20.45 juta membabitkan hartanah di Melbourne, Australia.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk di Maybank Cawangan Mont Kiara dan Solaris Mont Kiara, dekat sini antara September 2012 dan 26 Julai 2013 dan di CIMB Bank Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, pada 10 Disember 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah, atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai, atau berbentuk wang, atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Leave a Reply