fadi al-batsh suspek

Suspek bunuh Imam Fadi Albatsh ditangkap

SUSPEK yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma pada 2018, dipercayai sudah ditahan di Gaza.

Perkara itu dimaklumkan oleh aktivis kemanusiaan di Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam laman Facebook beliau hari ini.

“Hangat dari Gaza: Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di KL tahun 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan,” katanya.

Beliau menambah, pembunuh tersebut masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit.

Walau bagaimanapun, kata Muhammad Nadir, perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza dan ditangkap.

“Dia memaklumkan membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di KL ketika itu. Itu saja berita yang ada setakat ini,” jelasnya.

Sementara itu, memetik laporan BH, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut terlebih dahulu berhubung dakwaan suspek sudah ditahan.

Sebelum ini, media melaporkan pembunuhan Imam, Fadi dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.

Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, yang mengeluarkan kenyataan itu berkata, dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.

Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.

Malah, kebanyakan portal berita, termasuk milik Israel seperti Haaretz.com, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post (jpost) turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad.

Fadi yang juga imam dari Palestin ditembak mati di kawasan pejalan kaki di luar sebuah kondominium di Jalan Gombak, Setapak, di Kuala Lumpur, ketika berjalan menuju ke surau untuk menunaikan solat Subuh.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *