Oleh RIZQI ZABIDI
Siasatan dijalankan terhadap setiap tuduhan yang melingkari Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu dipandang serius dan dijalankan dengan cara yang mendapat kepercayaan rakyat secara keseluruhan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan tersebut perlu diambil memandangkan SPRM merupakan satu entiti yang terlalu penting untuk dibiarkan daripada ditohmah atau difitnah.
“Untuk memastikan tuduhan-tuduhan itu tidak berlarutan dan menjejaskan kredibiliti SPRM di mata rakyat, perlu ada siasatan lebih mendalam dengan cara yang membolehkan rakyat percaya dengan hasil siasatan tersebut.
“Sebagai seorang yang amat menghormati institusi SPRM, saya amat berharap agar isu ini diselesaikan dengan cara dipercayai rakyat,” katanya.
Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis PTPTN Prihatin di Masjid Al-Ihsan, Kampung Changkat Setol dekat Changlun, Kedah, hari ini.
Beliau menambah, isu tersebut juga tidak seharusnya dipolitikkan bagi memastikan hasil siasatan mahu pun langkah yang diambil, benar-benar yang terbaik buat suruhanjaya tersebut dalam menjalankan fungsinya untuk membanteras rasuah di negara ini.
“Saya amat berharap supaya semua pihak ketepikan dulu pandangan bersifat politik. Apa yang -penting, pastikan isu ini dapat diselesaikan dalam cara paling dipercayai rakyat.
“Di pihak SPRM, mereka jangan bersifat defensif manakala orang politik usahlah ofensif pula,” katanya.
Ditanya sama ada Azam perlu bercuti sementara siasatan berlangsung, Wan Saiful berkata perkara itu terpulang kepada prosedur dalaman SPRM.
“Ramai tokoh berkaliber, dipercayai dan dihormati rakyat ada dalam beberapa struktur SPRM sekarang. Saya yakin mereka boleh buat keputusan yang baik” katanya.
Tambahnya, ketika ini harapan rakyat cukup besar agar isu integriti yang menyelubungi negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak berulang.
“Selepas PRU-14, agenda integriti terutama sekali melalui kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup ditegaskan. Tiada kompromi dalam soal integriti, tadbir urus dan pentadbiran.
“Kita tak mahu apa yang berlaku sebelum ini berulang kembali. Apa yang kita mahukan adalah penyelesaian terbaik terhadap isu ini dan semua pihak harus memainkan peranan penting untuk memberi komen membina serta menjauhi pendekatan negatif,” katanya.
Leave a Reply