Potong barisan di persimpangan lampu isyarat, 32 pemandu disaman JPJ

SERAMAI 32 pemandu yang mementingkan diri dengan memotong barisan di persimpangan lampu isyarat Bulatan Seberang Jaya, Pulau Pinang menerima padah selepas disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang semalam.

Kesemua mereka disaman dalam operasi pasukan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) JPJ yang melaksanakan penguatkuasaan kesalahan di bawah Kaedah 5, Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu memotong di sebelah kiri jalan.

JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini berkata, penguatkuasaan secara berfokus itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima banyak aduan awam berhubung sikap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas terutama di waktu puncak sehingga menyebabkan laluan di sebelah kiri jalan terganggu dan menjadi sesak.

“Tindakan segelintir pemandu yang pentingkan diri sendiri dan sikap tidak sabar di jalan raya menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya lain yang boleh mengundang risiko kemalangan sekiranya tidak diambil tindakan penguatkuasaan segera,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya supaya pemanduan lancar, selamat serta mengelakkan kemalangan dan kesulitan semasa pemanduan.

Dalam perkembangan lain tambah kenyataan itu, sebanyak 30 buah bas yang diletakkan di tepi jalan berdekatan sebuah pasar raya besar di Bayan Baru, Pulau Pinang diberikan notis dalam pemeriksaan kelmarin.

Menurut kenyataan itu, Unit Operasi telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perkhidmatan awam, bas pekerja dan bas persiaran yang meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan selepas pihaknya menerima aduan awam.

“Tindakan segelintir pemandu yang meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan boleh menyebabkan gangguan lalu lintas kepada pengguna jalan raya yang lain dan notis dikeluarkan mengikut Seksyen 115(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *