Penilaian risiko VTL masih dilakukan

Oleh RAHIMI MOHAMAD

KERAJAAN Malaysia dan Singapura masih meneruskan penilaian risiko Covid-19 bagi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara sebelum memutuskan sama ada meneruskan dengan kuota asal atau dikurang kepada 50 peratus.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, keputusan akhir berhubung perkara itu akan dimaklumkan semula menjelang 20 Januari nanti iaitu hari terakhir penangguhan jualan tiket buat sementara waktu.

“Malaysia dan Singapura kini sedang menilai keadaan semasa sama ada untuk meneruskan VTL darat dan udara dengan kuota asal iaitu 1,440 bagi kedua-dua laluan atau kurangkan sehingga 50 peratus kerana varian Omicron menjadi kebimbangan utama ketika ini.

“(Kalau) ikut perbincangan asal, pada 21 Januari nanti Malaysia dan Singapura akan kurangkan kuota VTL sebanyak 50 peratus, seperti yang dipersetujui pada bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Meraikan Pencapaian 11 Juta TEU di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ketua Pegawai Eksekutif PTP Sdn. Bhd., Marco Neelsen.

Sebelum ini, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL darat serta udara digantung sementara mengambil kira laporan Kementerian Kesihatan berhubung kluster tempatan Covid-19 melibatkan tiga kes positif.

Skim VTL darat dan udara Malaysia-Singapura mula dilaksanakan pada 29 November lalu dengan kuota 1,440 individu pada minggu pertama.

VTL darat membabitkan Stesen Bas Queen Street, Singapura ke Terminal Larkin Sentral, manakala VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, setakat ini, 37,783 individu sudah menggunakan skim VTL udara sejak dilancarkan 29 November hingga 21 Disember lalu.

“Malaysia berharap VTL dapat diteruskan namun dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dan selamat,” katanya.

Sementara itu, dalam program tersebut, PTP terus mengukuhkan kedudukannya selaku antara 20 pelabuhan tersibuk dunia dengan rekod kendalian lebih 11 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) tahun lalu.

Rekod kendalian itu telah dicatatkan sehingga pukul 10 pagi, 25 Disember tahun lalu yang menyaksikan kadar pertumbuhan turut meningkat lebih empat peratus berbanding tahun 2020.

Ka Siong berkata, PTP mencatatkan jumlah kendalian sebanyak 11.2 juta TEU pada akhir tahun lalu dengan nilai pertumbuhan 14 peratus berbanding 9.8 juta TEU pada 2020.

Katanya, pencapaian itu amat membanggakan ketika pelabuhan-pelabuhan lain di seluruh dunia masih berada dalam situasi yang kurang stabil akibat daripada pelbagai isu seperti kesan operasi perniagaan akibat pandemik Covid-19 yang berterusan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *