KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menggantikan sebanyak 263,662 buku teks rosak akibat bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini.
Proses penggantian buku teks itu akan melibatkan seramai 14,422 murid di seluruh negara.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberitahu, kementeriannya mempunyai stok mencukupi untuk menggantikan buku teks yang rosak itu.
Menurut beliau, langkah itu sekali gus akan membolehkan murid berkenaan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijadualkan bermula minggu depan.
“Kita sedar bahawa dalam tempoh banjir besar yang kita lalui, ramai murid yang terjejas. KPM menerima banyak pertanyaan mengenai buku teks murid yang rosak akibat banjir.
“Jadi kepada murid yang kehilangan buku teks atau buku mereka rosak akibat banjir, jangan risau.
“Mereka juga tidak perlu membayar ganti rugi atas kerosakan buku teks berkenaan mahupun menggantikan buku itu,” katanya dalam rakaman video yang disiarkan melalui laman Facebook milik beliau, hari ini.
Radzi menambah, guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir dan memastikan usaha menggantikannya dapat dilaksanakan dengan segera.
Beliau berkata, tindakan itu adalah bagi membolehkan sesi persekolahan yang bermula minggu depan, dapat berjalan dengan teratur dan lancar.
“Semoga anak-anak yang terjejas dengan banjir dapat mengharungi tempoh sukar ini dan kembali ke sekolah apabila sekolah dibuka semula kelak,” katanya.
Leave a Reply