HARGA ayam segar dan telur ayam mungkin naik selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia tamat pada 4 Februari ini namun kerajaan akan mencari mekanisme bagi menanganinya demi kepentingan semua pihak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan mengkaji semula harga siling ayam bagi mengimbangi kebajikan antara pengguna dan penternak serta satu sesi libat urus bersama pelbagai agensi berkaitan diadakan semalam.
“Dalam sesi libat urus yang diadakan bersama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan persatuan penternak itu, kita mendengar keluhan penternak mengenai harga ternakan dan kos operasi yang dikatakan meningkat disebabkan kos import dedak ayam.
“Pengguna juga harus faham mengenai masalah ini sebab ia agak rumit. Bukan mudah nak letak harga rendah tapi penternak tak dapat keluarkan bekalan. Jadi kita akan bermasalah tiada bekalan nanti,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Jasin hari ini.
Alexander berkata, harga kawalan ayam hingga 4 Februari di peringkat runcit adalah RM9.10 sekilogram namun mendapat keluhan daripada penternak yang bukan sahaja melibatkan kos tetapi tempoh skim kawalan yang terlalu lama.
Beliau berkata, kementeriannya akan mencari mekanisme terbaik bersama MAFI dan menjaga harga di peringkat runcit dan pemborong.
“Harga siling mungkin akan tinggi tetapi kita akan lihat dahulu sebab kita ada strategi lain seperti MAFI mengimport ayam dari luar. Kalau itu yang terjadi, harga tak perlu naik sebab ada persaingan,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply