PEMAIN tenis No.1 dunia, Novak Djokovic, dihalang daripada memasuki Australia dan akan dihantar pulang selepas terdapat isu visa dan vaksinasi.
Djokovic ditahan di Lapangan Terbang Tullamarine, Melbourne walaupun negara tersebut telah meluluskan pengecualian perubatan agar beliau boleh mengambil bahagian dalam kejohanan Australian Open.
Hari ini, pemain Serbia itu diberikan surat memaklumkan beliau akan dihantar pulang selepas pihak berkuasa Australia menolak permohonanan visanya.
Penguatkuasa Sempadan Australia (ABF) mengesahkan bahawa Djokovic gagal untuk memberikan bukti yang kukuh bahawa beliau tidak boleh divaksinasi atas masalah kesihatan.
Djokovic mencetus kemarahan oleh warga Australia semalam apabila menyatakan bahawa beliau akan bermain dalam kejohanan Australian Open untuk mempertahankan kejuaraannya walaupun beliau tidak divaksinasi.
Pada tahun lepas, beliau membuat kenyataan menentang pengambilan suntikan vaksin.
Perdana Menteri Australia Scott Morrison menyatakan di Twitternya, “Visa Djokovic telah ditolak oleh pihak kami. Undang-undang tetap undang-undang, terutamanya jika berkaitan dengan sempadan kami. Tiada siapa dikecualikan.”
“Dasar-dasar ketat kami adalah salah satu sebab Australia merupakan antara negara dengan kadar kematian COVID-19 yang paling rendah. Kami akan terus berhati-hati,” kata Morrison.
Australia mengenakan dasar vaksinasi yang ketat ke atas rakyatnya dan warga asing perlu memberikan bukti vaksinasi untuk memasuki negara itu. Jika seseorang tidak boleh mengambil vaksin kerana masalah kesihatan, mereka diminta mengemukakan bukti kukuh bagi menjelaskan perkara tersebut.
Leave a Reply