PERTUKARAN Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dalam masa 24 jam adalah perkara biasa dan tidak sepatutnya dianggap sesuatu yang pelik.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata demikian bagi menjawab isu yang ditimbulkan pembangkang berhubung pertukaran bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts Kamel Mohamad ke Putrajaya berkuat kuasa semalam.
Beliau menyatakan, situasi sedemikian lazim berlaku membabitkan penjawat awam.
“Tukar SUK itu perkara biasa kerana datang, masuk, pergi dalam setiap jawatan itu (kerana ia) merupakan suatu proses dan tidak ada yang pelik.
“Kalau dia diperlukan dalam satu-satu tempat yang lebih baik, dia pergilah jadi tidak timbul isu kemelut ke apa ke sebab saya sendiri tahu dah lama dia akan berpindah,” katanya seperti dilaporkan Melaka Hari Ini.
Sulaiman turut menafikan kenyataan Ketua Pembangkang Melaka, Adly Zahari kononnya pertukaran tersebut dibuat secara tergesa-gesa,
“Terpulang dia (Adly) nak cakap apa, mungkin zaman dia tidak berlaku, zaman saya berlaku dan saya sendiri sudah tahu lama, sebulan atau tiga bulan lalu.
“Saya sudah tahu kerana itu perkara biasa kepada mana-mana ketua jabatan dan SUK ditukarkan ke satu kementerian yang lebih memerlukan beliau di sana,” jelasnya.
Semalam, Sulaiman mengumumkan pelantikan Datuk Zaidi Johari sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang baharu.
Zaidi sebelum ini memegang jawatan Pegawai Kewangan Negeri Melaka.
Leave a Reply