LPPR Azam Baki

LPPR perlu lebih telus perinci kenyataan isu Azam Baki

LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) perlu lebih telus dalam memperinci dan melanjutkan siasatan terhadap kenyataan berkaitan isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Rasuah Busters dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa kontroversi peribadi itu langsung tidak menyumbang kepada pemulihan institusi yang reputasinya sedang terjejas akibat dakwaan salah laku segelintir pegawainya pada waktu ini.

“Rakyat ingin melihat wibawa moral SPRM sebagai badan yang berakauntabiliti dan boleh diharap bertindak segera untuk mencegah, mendakwa dan mendidik masyarakat.

“Sebarang risiko yang menjadi penghalang kepada usaha mengembalikan integriti SPRM sebagai badan yang bebas wajar dikekang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut #Rasuah Busters tidak akan bertoleransi dengan tingkah laku rasuah dan salah guna kedudukan yang mewujudkan apa jua potensi konflik kepentingan dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap badan yang seharusnya melindungi kepentingan rakyat dan pemegang taruh.

SPRM harus bebas, sebagai badan profesional yang dihormati dan isu peribadi tidak wajar mengatasi kepentingan itu, menurut kenyataan tersebut sambil menambah konflik berkenaan tidak harus ditangani secara emosi. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *