Oleh RAHIMI MOHAMAD
SIDANG Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor hari ini sebulat suara meluluskan pindaan ke atas Undang-Undang Tubuh Negeri bagi membolehkan penduduk berusia 18 tahun menjadi calon pilihan raya.
Keputusan itu dalam persidangan khas DUN sekali gus menjadi negeri terbaharu yang membenarkan belia berusia 18 tahun bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).
Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 dikemukakan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad diluluskan selepas mendapat sokongan dan dibahaskan oleh ADUN kerajaan dan pembangkang.
Antara ADUN kerajaan tampil berbahas dan menyatakan sokongan termasuk ADUN Panti, Hahasrin Hashim dan ADUN Tenggaroh, K. Raven Kumar serta dua ADUN pembangkang iaitu ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng dan ADUN Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman.
Hasni ketika membawa rundingan itu berkata, penggubalan Fasal 16 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 adalah untuk menurunkan had umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Negeri daripada 21 kepada 18 tahun.
“Pindaan had umur seseorang warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Negeri daripada 21 kepada 18 tahun ini telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 15 Disember 2021.
“Berdasarkan peruntukan ini, setiap warganegara yang berumur 21 tahun yang bermastautin dalam negeri Johor layak menjadi seorang ahli Dewan Negeri, melainkan orang tersebut tertegah dan tidak mencukupi syarat menjadi ahli dewan,” katanya pada sesi mesyuarat bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor ke-14, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.
Jelas Hasni, Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi melaksanakan pindaan kelayakan umur Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negeri kepada 18 tahun melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] yang telah diwartakan pada 10 September 2019.
Terdahulu pada sesi perbahasan, Andrew Chen berkata, sejajar dengan pindaan itu, enakmen anti lompat parti perlu digubal pada sesi dewan akan datang demi memperkasakan lagi fungsi DUN yang merupakan tunjang sistem perundangan negeri.
“Mengurangkan umur mengundi kepada 18 tahun juga mengemudi anak muda kita agar lebih cepat mengenali dan mendekati perkembangan politik negara. Kebanyakan mereka akan mula berfikir matang dan kritis sejak alam persekolahan lagi. Dengan ini, pemimpin pelapis muda yang lebih ramai akan dapat disemai sejak awal.
“Belia boleh membuka lembaran baru dalam politik dan dasar pembangunan. Mereka boleh menjadi kuasa kreatif, sumber inovasi yang dinamik dan fasih dalam alatan digital. Mereka dahagakan perubahan, mereka tahu apa yang mereka boleh lakukan untuk mengubah sistem dan menjadikannya lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Hahasrin berkata, walaupun ada pihak tidak bersetuju dengan pindaan kelayakan calon daripada 21 ke 18 tahun berikutan persepsi kematangan orang muda yang masih belum mencapai tahap sepatutnya.
“Namun orang muda perlu menganggap ia sebagai cabaran dan buktikan mereka layak dan mampu memimpin apabila dipilih menjadi calon di kawasan tertentu di negeri ini. Saya yakin orang muda sudah matang dan langkah pindaan ini bertepatan dan akan membawa Johor lebih maju selepas ini,” katanya.
Leave a Reply