Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
DEWAN Undangan Negeri (DUN) Johor menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar ke-16, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia 21 Disember lalu.
Ucapan berkenaan disampaikan oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat sebelum memulakan Sidang Khas DUN Johor, di Iskandar Puteri pagi ini.
“Dukacita dimaklumkan mantan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang mula berkhidmat mulai 12 Mei 2018 hingga 13 April telah kembali ke rahmatullah pada 21 Disember 2021.
“Allahyarham juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas yang berkhidmat mulai 29 November 1999 hingga 2 April 2013 serta 11 Mei 2018 hingga 20 Disember 2021, selama tiga penggal.
“DUN Johor merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarganya dan marilah kita doakan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Ahli dewan yang beragama Islam sedekahkan ucapan al-Fatihah kepada Allahyarham manakala yang bukan Islam bertafakur berdiri selama seminit,” katanya.
Pada 21 Disember lalu, Osman, 70, dilaporkan meninggal dunia di ibu negara pada pukul 11.45 malam. Allahyarham sebelum ini diserang penyakit angin ahmar pada pertengahan Oktober tahun lalu ketika berada di kediamannya.
Pada awal November lalu, keadaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam itu dilaporkan stabil, namun masih belum pulih sepenuhnya sebelum dilaporkan menghembuskan nafas terakhir.
Leave a Reply