KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan telah memulakan tindakan undang-undang seperti yang ditegaskannya dalam sidang akhbar khas, semalam.
Tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna laman Twitter dikenali sebagai ‘Lalitha Kunaratnam’ itu dilakukan kerana tuduhan palsu dan berniat jahat yang dibuat terhadap dirinya secara peribadi, keluarga dan SPRM.
Azam dalam kenyataannya hari ini memaklumkan telah memulakan prosiding undang-undang terhadap Lalitha bagi melindungi kedudukan baik dan reputasi profesionalnya.
Menurut Azam, tindakan tersebut diambil selepas mendapat nasihat peguamnya.
“Saya mengulangi bahawa saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang menyebarkan atau membuat dakwaan palsu dan berniat jahat terhadap saya atau ahli keluarga.
“Saya memandang serius pelbagai tuduhan palsu dan berniat jahat yang dibuat terhadap saya secara peribadi, keluarga dan juga SPRM,” katanya.
Terdahulu, Lalitha menerusi akaun Twitternya mengesahkan telah menerima surat tuntutan daripada Azam.
Menerusi surat bertarikh 6 Januari itu, Azam mengemukakan surat tunturan menerusi firma guaman Zain Megat dan Murad.
Surat tuntutan berkenaan berkaitan artikel dipercayai ditulis Lalitha yang mendakwa Azam mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat.
“Saya telah menerima surat tuntutan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Terima kasih,” katanya ringkas dalam ciapan di Twitter.
Dalam sidang akhbar khas semalam, Azam menegaskan tohmahan ke atasnya sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.
Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan, Azam berkata, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya.
Leave a Reply