KETUA Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu bercuti rehat bagai memberi laluan kepada siasatan untuk membersihkan nama beliau.
Secara peribadi, Ahmad Fadhli menghormati Azam dan pernah beberapa kali bersua dalam prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Saya boleh simpulkan beliau seorang mahir dengan selok-belok urus tadbir sesuai dengan kedudukannya.
“Bagaimanapun dalam isu terkini ini, saya berpandangan adalah baik untuk beliau bercuti rehat memberi laluan kepada siasatan untuk membersihkan nama beliau.
“Insya-Allah saya berharap agar beliau dapat kembali bertugas dengan nama yang bersih dari segala tohmahan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Berikut adalah kenyataan penuh Ketua Dewan Pemuda PAS dalam hantaran Facebook yang sama:
Dewan Pemuda PAS Malaysia mengikuti rapat isu melibatkan tuduhan-tuduhan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk melibatkan pegawai tertinggi SPRM yang dilihat boleh menjejaskan kredibiliti serta komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah dan memperkukuhkan integriti yang sedang diusahakan kini.
Pemuda PAS memandang serius isu ini dan ianya menjadi suatu kewajipan kepada pihak kerajaan terutama kepada pimpinan YAB Perdana Menteri untuk mengambil langkah segera dan mengadakan siasatan secara bebas dan terbuka.
Pemuda PAS juga dengan penuh hormat menyarankan supaya semua yang terlibat, termasuk pegawai tertinggi SPRM yang terbabit dalam isu tersebut direhatkan sehingga siasatan selesai dan nama mereka yang terbabit dibersihkan. Ini bagi memastikan ketelusan dalam siasatan, serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
Pemuda PAS percaya perkara ini harus diambil serius oleh kerajaan bagi menangkis persepsi buruk kepada kerajaan dan negara, serta memastikan integriti terus terpelihara.
Semoga Malaysia sentiasa dipelihara Allah SWT dan kedaulatan undang-undang terus ditegakkan dengan amanah dan berintegriti.
Leave a Reply