ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan desas-desus mengenai rombakan Kabinet hanya sebagai khabar angin sahaja.
Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara tersebut sudah disahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sesi penerangan antara kepimpinan tertinggi parti.
“Tidak adil untuk saya komen mengenai perkara itu, kita serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pucuk pimpinan tertinggi parti lain untuk membuat keputusan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, Rantau Panjang, hari ini.
Menurutnya, Kabinet yang dibentuk melibatkan pelbagai gabungan parti iaitu Bersatu, Pas, Barisan Nasional (BN), Gabungan Oarti Sabah (GPS) dan lain-lain.
Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihaknya sudah menggerakkan seramai 500 sukarelawan Armada untuk membantu penduduk yang terjejas banjir di seluruh negara.
Katanya, sukarelawan terbabit akan membantu mangsa banjir yang tidak berdaftar secara rasmi di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mendapat bantuan wang ihsan yang disediakan oleh kerajaan.
“Saya diberitahu ramai warga emas yang tidak tahu prosedur untuk mendaftar. Jadi kami sudah gerakan semua jentera Armada di seluruh bahagian untuk membantu,” katanya.
Leave a Reply