SEORANG lelaki kategori orang kurang upaya (OKU) sanggup menempuh perjalanan lebih 400 kilometer (km) dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah bagi menghantar dan mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Labohan Dagang, Sepang.
Muhammad Azamirudin Ismail, 28, yang merupakan OKU Cerebral Palsy (CP) bersemangat untuk menabur bakti dengan menjalankan misi membantu mangsa banjir di kampung berkenaan.
Pemuda OKU itu tidak berseorangan sebaliknya bergerak bersama-sama 10 rakan dari Team 4×4 Sungai petani dan penternak udang kara air tawar yang menetap di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.
Menurutnya, barangan bantuan dalam misi itu diperoleh hasil sumbangan daripada penduduk dan rakan penternak udang kara air tawar di sekitar Sungai Petani.
“Sumbangan ini dikumpulkan dalam tempoh seminggu selepas berlakunya banjir di Selangor.
“Antara barangan disumbangkan termasuklah pakaian, makanan ringan, minuman dan pelbagai lagi untuk kegunaan asas kepada mangsa banjir yang mana ia dimuatkan ke dalam tiga kenderaan pacuan empat roda,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.
Bercerita lanjut, dia mengakui pembabitan dalam misi itu sedikit memberi cabaran buatnya kerana keadaannya yang bergerak menaiki kerusi roda.
“Ketika di lokasi, air banjir belum surut sepenuhnya dan kawasan sekitar juga masih dipenuhi banyak sampah yang belum dibuang.
“Itu belum lagi kesesakan jalan disebabkan banyak kenderaan berat yang membawa sukarelawan keluar masuk ke kawasan banjir untuk proses pembersihan serta agihan makanan dan bantuan.
“Sebahagian jalan hanya dapat dimasuki kenderaan pacuan empat roda saja namun saya dapat atasi cabaran itu berkat kerjasama dan bantuan daripada rakan yang turut menjayakan misi bantuan kali ini,” katanya.
Di sebalik halangan itu, Azamirudin bersyukur kerana dapat mengikuti misi berkenaan kerana memberi peluang untuknya mewakili komuniti OKU membantu mereka yang ditimpa musibah.
“Saya sangat terkesan dan sedih melihat kerosakan rumah, harta benda dan kenderaan mangsa.
“Bukan setakat itu, haiwan ternakan mereka juga mati akibat banjir… begitu juga peralatan dalam kolam ternakan.
“Jadi, lega rasanya apabila dapat membantu mangsa, walaupun sedikit, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat mengukir senyuman mereka yang masih berduka,”katanya.
Leave a Reply