AMK Pejuang Syed Badli Shah

Pemimpin AMK perlekeh Pejuang parti yang sangat lemah

SEORANG pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) memperlekehkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai parti yang sangat lemah.

Memetik laporan Malaysiakini, Naib Ketua AMK Cabang Damansara, Syed Badli Shah Syed Osman turut menganggap Pejuang belum berupaya membuktikan sebarang pencapaian politik setakat ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak layak untuk bercakap mengenai kepimpinan parti lain.

“Mukhriz sendiri ditolak dan dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali dan ini adalah cerminan kegagalan dan ketidakupayaan beliau untuk memimpin.

“Sebagai seorang pemimpin yang sangat lemah dan gagal, beliau tidak layak langsung berbicara soal kepimpinan parti lain.

“Saya optimis parti Pejuang tidak akan punya masa depan yang gemilang jika Mukhriz terus menerajui parti tersebut,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan temu bual Mukhriz bersama stesen radio BFM semalam yang mengatakan bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi calon untuk menjadi Perdana Menteri memandangkan masa presiden PKR itu sudah berlalu.

Mukhriz berkata demikian ketika ditanya jika dirinya mempunyai ‘sebarang isu’ dengan Anwar sebagai calon Perdana Menteri selepas beliau berkata bahawa Pejuang tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PH.

Syed Badli turut menyifatkan dakwaan Mukhriz bahawa kononnya PH memerlukan kumpulan bhaaru untuk mengambil alih pucuk pimpinan sebagai dangkal sekali.

Selain Syed Badli, beberapa pemimpin PKR lain turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan itu semalam.

Antara mereka, termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang membalas kenyataan Mukhriz dengan membandingkan pimpinan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu bersama kerajaan PH, yang mengecewakan banyak pihak kerana memungkiri janji dengan enggan melepaskan jawatan Perdana Menteri yang telah dijanjikan kepada Anwar.

Sementara itu, Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Khairuddin Abu Hassan pula mempertahankan kenyataan Mukhriz dengan mengatakan bahawa pembangkang harus menerima teguran ikhlas Mukhriz itu dengan hati yang terbuka demi meneruskan kelangsungan politik pembangkang.

“Seandainya pemimpin-pemimpin pembangkang mahu terus relevan serta diterima oleh rakyat jelata, Anwar harus digantikan dengan muka baharu untuk memimpin gagasan pembangkang.

“Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak merupakan signal jelas para pengundi sedang menolak kepimpinan Anwar yang dianggap lapuk serta ketinggalan zaman.

“Politik ‘baling batu sorok tangan,’ ‘tikam belakang,’ ‘pecah dan perintah’ serta agenda kepentingan peribadi Anwar yang hanya mahu jadi perdana menteri Malaysia sudah tidak boleh diterima lagi di alaf moden ini,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *