Oleh RIZQI ZABIDI
Hasil kecekapan risikan yang dilaksanakan selama hampir sebulan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira lima tan daun ketum ke negara jiran dan menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki menjadi ‘transporter’, awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, rampasan daun ketum tersebut merupakan yang terbesar dilakukan setakat ini dan hampir menyamai jumlah rampasan keseluruhan pada 2021 iaitu sebanyak 5.9 tan.
Katanya, tangkapan tersebut dilakukan pada pukul 1.40 pagi semalam apabila pihaknya berjaya mengesan kedudukan sebuah bot fiber yang bergerak keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan gelap.
“Bot Perkasa 1226 milik Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan. Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan bertindak memecut bot menuju ke daratan berhampiran.
“Bot fiber itu bagaimanapun berjaya dipintas lalu ditahan oleh pegawai dan anggota yang menaiki Bot Perkasa 1226. Pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki warganegara tempatan menaiki bot fiber itu yang turut membawa 200 bungkusan plastik berwarna hitam berisi daun ketum dianggarkan seberat kira-kira dua tan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Marina Harbour, Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah hari ini.

Mengulas lanjut katanya, soal siasat dijalankan terhadap kedua-dua suspek itu membawa kepada penemuan 300 lagi bungkusan plasik hitam berisi daun ketum dengan anggaran berat tiga tan, di satu kawasan yang terletak kira-kira 4.0 batu nautika, timur muara Kuala Kedah.
“Daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa yang mencecah lebih RM180 sekilogram berbanding RM40 di pasaran tempatan.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.08 juta dengan nilai daun ketum yang dirampas dianggarkan bernilai kira-kira RM900,000,” katanya.
Mohd. Zawawi menambah, kedua-dua transporter itu mendakwa mereka menerima upah sebanyak RM700 untuk dikongsi berdua bagi menyelesaikan tugas tersebut.
“Upah diterima itu agak rendah kerana biasanya mereka akan menerima RM500 atau RM700 seorang bergantung kepada kuantiti penghantaran. Namun bersandarkan kekuatan enjin bot yang berkuasa 115 kuasa kuda, kita percaya mereka memang merancang untuk melakukan penyeludupan secara besar-besaran pada satu-satu masa,” katanya.
Leave a Reply