KWSP pencarum

Kemaruk keluar duit KWSP, pencarum Melayu tak fikir hari tua

KERAJAAN telah membuat keputusan yang tepat apabila enggan tunduk kepada tekanan pihak berkepentingan politik agar pencarum dibenarkan untuk mengeluarkan RM10,000 daripada simpanan hari tua mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Seperti yang telah dijelaskan oleh kumpulan wang persaraan tersebut baru-baru ini, sebanyak 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka dengan 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang RM1,000 iaitu tahap yang sememangnya tidak dapat menjamin persaraan mereka.

Sememangnya, statistik tersebut amat membimbangkan. Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan banyak wang diperlukan untuk menyara kehidupan selepas tidak lagi aktif dalam dunia pekerjaan kelak.

Lebih merisaukan apabila ramai pencarum yang ‘bising-bising’ minta kerajaan benarkan pengeluaran simpanan KWSP adalah orang Melayu. Macam-macam alasan diberi mereka untuk mewajarkan tuntutan itu.

Memang benar ada yang benar-benar terhimpit akibat krisis ekonomi yang berpunca daripada pandemik COVID-19 dan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.

Namun, peratusan mereka yang terjejas akibat dua faktor tersebut adalah kecil. Mereka juga telah menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan bagi meringankan beban yang ditanggung dan memulihkan kehidupan.

Malah, sebelum ini, KWSP telah mengeluarkan sebanyak RM101 bilion di bawah tiga skim pengeluaran iaitu i-Sinar, i-Citra dan i-Lestari yang bersamaan dengan 22 peratus daripada RM530 bilion pakej rangsangan diperkenalkan kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Apakah jumlah yang sebesar itu tidak cukup lagi?

Lazimnya, orang Melayu mudah gelap mata apabila mempunyai banyak wang dalam tangan. Mereka mudah terdorong untuk membelanjakan wang untuk perkara-perkara yang kurang perlu seperti kenduri besar-besaran, raya sakan dan jalan-jalan cari makan.

Mungkin niat asal mengeluarkan wang KWSP adalah untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selepas kehilangan pekerjaan semasa krisis pandemik.

Malangnya, setelah sektor ekonomi dibuka seluas-luasnya dan peluang pekerjaan kembali bercambah umpama cendawan tumbuh selepas hujan, niat itu akhirnya masuk ke laut.

Ramai yang kini kembali bekerja dan perancangan untuk mula berniaga hanya tinggal menjadi angan-angan. Duit KWSP yang dikeluarkan dulu pun entah ke mana perginya.

Jika kerajaan sekali lagi membenarkan RM10,000 dikeluarkan daripada dana KWSP yang semakin menyusut, kita bimbang situasi serupa akan berulang.

Memang kali ini kerajaan perlu tegas mempertahankan pendiriannya dan menolak desakan tidak berasas oleh pihak-pihak berkepentingan politik.

Pencarum perlu dididik untuk mengamalkan sikap berhemat dalam menguruskan perbelanjaan mereka dan bukannya mengambil jalan mudah mengeluarkan duit KWSP setiap kali berada dalam keadaan terdesak.

Orang Melayu khususnya patut mengubah sikap boros ketika berbelanja agar mereka tidak menjadi ‘generasi minta-minta’ apabila tua.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *