MAHKAMAH Jenayah Abu Dhabi menjatuhkan hukuman mati ke atas dua ekspatriat Filipina selepas didapati bersalah memiliki dan menjual narkotik serta psikotropik.
Kedua-dua penjenayah tersebut dikatakan mendapat bekalan dadah dalam jumlah besar daripada pembekal di luar negara yang kemudiannya disimpan di lokasi-lokasi yang tidak berpenghuni.
Mereka diberikan koordinat lokasi dadah tersebut bagi membolehkan penjenayah itu mengambilnya. Bahan itu akan dibahagi-bahagikan dan dibungkus semula sebelum diedarkan di tempat-tempat yang ditetapkan melalui aplikasi WhatsApp.
Melalui aplikasi tersebut pengedar dadah itu akan mendapat gambar dan lokasi untuk dihantar kepada penagih-penagih.
Mahkamah telah memerintahkan dadah-dadah itu dimusnahkan dan segala barangan yang terlibat dalam proses penjualan seperti telefon bimbit dan wang hasil daripada jenayah itu dirampas.
Ini bukan kali pertama Whatsapp digunakan untuk menjual dadah.
Pada 20 Disember, Mahkamah Jenayah Abu Dhabi juga telah menjatuhkan hukuman yang sama terhadap seorang warga Pakistan atas kesalahan pemilikan bahan narkotik dan psikotropik dengan niat untuk menjual.
Pembekal memberikannya dalam kuantiti dadah yang banyak dan disembunyikan di kawasan terbiar. Lelaki itu kemudiannya menjual bahan itu melalui aplikasi WhatsApp dan media sosial lain.
Mulai 2 Januari lalu, Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melaksanakan undang-undang baharu untuk membendung masalah dadah di negara tersebut.
Antara hukuman yang ditetapkan ialah dipenjara paling kurang 10 tahun dan denda Dh200,000 (RM228,000) untuk kesalahan yang berat dan boleh dikenakan hukuman mati jika menyebabkan kematian.
Leave a Reply