PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas pod vape bernilai RM475,00 dalam serbuan di sebuah stor kosong Kampung Tebing, Tumpat, malam tadi.
Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota PPM yang sedang melakukan rondaan menerusi Op Benteng Covid-19 (Op Landai/Op Kontraban) membuat serbuan di lokasi tersebut pada pukul 8 malam.
Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd. Rudzuan Ahmad berkata, apabila sampai di lokasi, sepasukan anggota yang diketuai seorang pegawai mendapati pintu premis berkenaan tidak berkunci.
“Hasil pemeriksaan, anggota menemui sembilan kotak mengandungi pelbagai jenis vape.
“Anggota PPM telah menunggu hampir 30 minit, namun tiada sesiapa yang tampil mengaku sebagai pemilik kepada barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, semua barangan rampasan itu cuba diseludup ke negara jiran dan pihaknya membawanya ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk laporan polis dan tindakan lanjut.
“Kesemua barangan tersebut dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Leave a Reply