tan cheng hoe

Rasa bertanggungjawab alasan Cheng Hoe undur diri

Oleh AHMAD NAZRIN SYAHMI MOHAMAD ARIF

“SAYA perlu beri laluan kepada individu yang mungkin lebih arif untuk bawa skuad kebangsaan ke satu tahap lebih baik”.

Itu penjelasan Tan Cheng Hoe berhubung keputusannya melepaskan jawatan Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya selepas empat tahun menggalas tanggungjawab itu sejak dilantik pada Disember 2017.

Cheng Hoe mengakui ia adalah keputusan yang berat untuk dilakukan, namun tindakannya itu sebagai mengambil tanggungjawab atas kegagalan pasukan negara pada kempen Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Singapura, baru-baru ini.

“Saya tahu FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) letak sasaran untuk saya ke final Piala AFF dan saya tidak mencapai sasaran tersebut, jadi itulah sebab saya meletak jawatan.

“Memang keputusan ini saya ambil masa yang panjang untuk berfikir, fikir lebih jauh tentang karier saya dan juga reputasi sebagai jurulatih perlu saya jaga. Mungkin ada orang lain mampu menggalas tugas itu lebih baik daripada saya,” kata pengendali berusia 53 tahun itu ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau turut menafikan keputusannya melepaskan jawatan itu dipengaruhi pelbagai desakan susulan kegagalan skuad kendaliannya di Singapura.

Ketika ditanya apakah memori paling manis sepanjang bersama pasukan negara, Cheng Hoe berkata tempoh 2018 hingga 2019 adalah kemuncak kariernya yang menyaksikan skuad kebangsaan berjaya mara ke final Piala AFF 2018.

“…dan pada 2019 kita mampu capai sasaran terbaik dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, kemenangan berturut-turut terhadap Thailand dan Indonesia dan kita juga lihat corak permainan pasukan berada pada satu tahap yang cukup baik,” katanya.

Cheng Hoe pada masa sama berkata beliau hanya ingin berehat dan meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali semula ke kancah kejurulatihan.

“Setakat ni tiada apa-apa tawaran dan buat sementara saya nak relaks dan tumpukan kepada keluarga kerana disebabkan bola sepak saya tinggalkan keluarga lama juga,” kata jurulatih kelahiran Kedah itu.

Terdahulu, FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Cheng Hoe yang mempunyai kontrak bersama skuad kebangsaan sehingga penghujung 2022, mengambil keputusan melepaskan jawatannya berikutan kegagalan skuad kebangsaan melangkah ke pusingan separuh akhir Piala AFF 2020 bulan lepas.

Pada kempen kejuaraan itu, Malaysia yang turun selaku naib juara edisi 2018 gagal melangkah ke peringkat kalah mati selepas menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga di belakang Indonesia dan juara bertahan Vietnam.

Skuad kebangsaan yang melalui tempoh persiapan singkat dan mencabar terutama dari aspek ketersediaan pemain, memulakan kempen dengan cemerlang apabila membenam Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan Vietnam 0-3 dan Indonesia 1-4.

Nama Cheng Hoe kemudian hangat diperkatakan susulan kegagalan itu dengan rata-rata peminat menyifatkan ia sebagai kemuncak kepada kemerosotan prestasi pasukan negara sepanjang di bawah bimbingannya.

Bagaimanapun, beliau boleh dianggap sebagai individu yang bertanggungjawab memberi nafas baharu dalam corak permainan Malaysia selepas mengisi kekosongan ditinggalkan bekas ketua jurulatih kelahiran Portugal, Nelo Vingada.

Malah, Cheng Hoe juga berjaya memperbaiki ranking pasukan negara yang berada di kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak negara di tangga ke-178 dunia kepada posisi ke-153 sejak mengambil alih tugas itu.

Prestasi terbaik skuad kebangsaan di bawah Cheng Hoe adalah pada musim 2019 apabila pasukan negara merekodkan sembilan kemenangan dalam keseluruhan 13 perlawanan, termasuk aksi persahabatan Tier 1 dengan empat daripadanya menewaskan pasukan di ranking lebih tinggi pada ketika itu.

“Mengendalikan skuad kebangsaan memang bukan tugas yang mudah tetapi saya yakin sesiapa yang dilantik mampu beri nafas baharu untuk pasukan,” kata Cheng Hoe. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *