Oleh RIZQI ZABIDI
Seorang pemandu lori ditahan kerana gagal mengemukakan permit khas sewaktu membeli minyak diesel dari sebuah stesen minyak mini di Mukim Terap, Serdang, Kedah hari ini dipercayai untuk kegunaan jentera di kawasan pembinaan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kulim, Mohd. Fazly Edros berkata, pihaknya menahan lelaki itu kira-kira pukul 10.30 pagi ketika dia sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong dram di atas sebuah lori di stesen minyak tersebut.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat tujuh tong dram berkapasiti 200 liter di atas lori tersebut.
“Ketika ditahan, jumlah minyak diesel yang sempat dibeli lelaki itu berjumlah kira-kira 1,205 liter bernilai RM2,590.
“Pemandu lori itu gagal mengemukakan permit khas iaitu surat kebenaran bertulis dikeluarkan pengawal bekalan KPDNHEP sedangkan minyak yang digunakan oleh jentera bagi kerja-kerja pembinaan, sepatutnya adalah minyak komersial yang dibeli dari pemborong sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Fazly menambah, kesemua barangan termasuk lori satu tan dipandu lelaki tersebut dirampas dengan keseluruhan nilai sitaan dianggarkan bernilai RM12,590.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan berkaitan barang kawalan.
“Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 itu dibaca secara bersama dengan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 iaitu tiada siapa boleh berniaga dengan cara jual borong atau jual runcit apa-apa barang berjadual atau mengilang kecuali di bawah satu lesen dikeluarkan di bawah peraturan 4,” katanya.
Tambahnya, tindakan juga turut diambil terhadap stesen minyak tersebut di bawah Peraturan 21(1) PPKB 1974 kerana melanggar syarat lesen iaitu membenarkan pembeli untuk membeli minyak dengan memasukkannya selain daripada tangki kenderaan.
“Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat pula, boleh didenda tidak lebih RM2 juta,” katanya.
Leave a Reply