Menteri Ukraine anggap watak dalam drama ‘Emily in Paris’ menghina

MENTERI Kebudayaan Ukraine, Oleksandr Tkachenko telah membuat bantahan kepada Netflix selepas salah satu watak dalam siri “Emily In Paris” memaparkan stereotaip buruk rakyat negara itu.

Dalam siri terbaru Netflix itu watak ‘Petra’ yang dimainkan oleh pelakon berbangsa Ukraine, Daria Panchenko menunjukkan seorang perempuan daripada Kyiv yang tidak berfesyen, mencuri di Paris dan takut untuk dihantar pulang ke negara asalnya.

Tkachenko berpendapat, watak tersebut “menghina” rakyat Ukraine.

“Dalam ‘Emily in Paris’, ada watak imej seorang wanita Ukraine yang sama sekali tidak boleh diterima. Ia juga menghina,” tulis beliau di Telegram.

Menurut media Ukraine, Tkachenko menghantar surat bantahan kepada Netflix berhubung watak tersebut.

Seorang warga Ukraine yang menetap di Paris turut bersetuju setuju dengan Tkachenko.

“Paparan imej orang Ukraine dalam episode keempat di musim kedua ini adalah helah murahan dan memalukan,” kata Yevheniya Havrylko dalam akaun Instagramnya yang mendapat lebih 75,000 tanda suka.

Ini bukan kali pertama “Emily In Paris” mendapat kritikan tentang cara mereka menggambarkan rakyat negara lain.

Pada musim pertama, rakyat Perancis kurang setuju dengan imej stereotaip ibu negara dan rakyat  mereka yang dipaparkan dalam siri tersebut.

Drama tersebut memaparkan orang Perancis sebagai orang yang biadab dan tidak setia dengan pasangan mereka.

Dalam musim baharu siri itu, ia memaparkan watak seorang warga Britain bernama Alfie yang menghabiskan masanya dengan minum di pub dan menonton bola sepak.

Penulis siri Netflix tersebut, Darren Star menyatakan bahawa beliau tidak kecewa dengan kritikan negatif cerita tersebut pada musim pertamanya kerana ia berdasarkan pengalaman ketika di Paris.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *