berpaut pokok

Lelaki terselamat berpaut pada pokok selepas hanyut

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki terselamat berpaut pada sebatang pokok selepas hanyut dibawa arus ketika cuba meredah banjir denga motosikalnya di Bukit Sengit, Pogoh, Segamat, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, mangsa, Nor Ibrahim Ariffin, 37, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ cuba meredah banjir namun tidak berjaya kerana arus deras sebelum menghanyutkannya.

Mangsa yang hanyut kemudian berjaya berpaut pada sebatang pokok dan kejadian tersebui dilihat penduduk setempat sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan kerana mereka tidak berani memberikan pertolongan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penguasa Bomba Kanan II Kenny Ismol Abd. Rahman berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu selepas mendapat maklumat awam pada pukul 7.58 pagi.

Nor Ibrahim (tengah) berjaya diselamatkan pihak bomba selepas hanyut dibawa arus banjir dalam kejadian di Bukit Sengit, Pogoh

Susulan itu katanya, seramai enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk menyelamatkan Nor Ibrahim.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ hanyut dibawa arus deras ketika cuba merentas jalan yang sedang dinaiki air.

“Namun mangsa berjaya berpaut pada sebatang pokok dan pihak bomba bertindak menyelamatkan mangsa menggunakan tali penyelamat dan membawa mangsa ke kawasan yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi tersebut tamat pada pukul 8.30 pagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *