Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KERAJAAN Johor akan memberikan bantuan RM500 kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, bantuan itu sebagai tambahan bagi mereka mengharungi bencana itu yang kini sudah mencecah lebih 4,000 mangsa.
Beliau memberitahu, bantuan tersebut akan dicadangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada Rabu ini untuk disalurkan segera.
“Di peringkat Persekutuan, kerajaan memberikan bantuan RM1,000 kepada ketua setiap isi rumah yang terjejas banjir serta RM10,000 bagi kematian akibat bencana itu dan di Johor kita akan cadang supaya kerajaan negeri tambah RM500 kepada setiap keluarga.
“Saya akan bawa ke mesyuarat Exco pada Rabu ini dan kita turut akan berbincang untuk bantuan tambahan juga kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat bencana itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kem Segamat, Batu Anam, Segamat, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama-sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melawat keadaan banjir di daerah ini serta singgah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tambang, Batu Anam.
Hasni berkata, pihaknya setakat ini amat berpuas hati dengan kerjasama dan koordinasi antara jabatan, agensi di bawah kementerian dan kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan awal dan penyampaian sumbangan kepada mangsa-mangsa.
“Peranan semua pihak amat kerajaan negeri alu-alukan dan terima kasih di atas komitmen yang ditunjukkan, setakat ini agensi-agensi khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain memainkan peranan penting di kesemua PPS di Johor yang melibatkan enam daerah.
“Apa yang penting kita pastikan supaya arahan yang diturunkan dan koordinasi agensi dapat dipermudahkan dan bantuan kepada mangsa tepat pada masanya. Malah, peranan dan tumpuan yang saya beri di Johor adalah kita memudah cara segala bentuk bantuan diberi pelbagai agensi,” katanya.
Leave a Reply