APM bantu pindahkan 4 mangsa banjir positif Covid-19

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEBUAH keluarga yang menjadi mangsa banjir di Kampung Batu Bakar, Buloh Kasap, Segamat yang dan dikesan positif Covid-19 dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, seorang pegawai dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor membantu memindahkan empat beranak itu.

“Mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa masing-masing berusia 32 dan 31 tahun bersama-sama dua kanak-kanak perempuan berusia dua dan empat tahun.

“Mereka dipindahkan dari Kampung Batu Bakar ke PPS di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, Segamat pada pukul 11.30 pagi. Mereka dipindahkan atas arahan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang sebelum ini menjalani proses kuarantin di rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bersama-sama agensi lain mengambil langkah ketat dan berjaga-jaga dengan proses kemasukan mangsa ke PPS pada musim pandemik Covid-19 untuk mengelakkan wujud kluster atau pernularan wabak di PPS.

JKNJ juga katanya, sudah mengaktifkan semua jentera kesihatan termasuk aset, sumber manusia dan ubat-ubatan serta sebagai langkah persediaan dalam menghadapi situasi tersebut atau di luar jangka.

Pihaknya akan memastikan fasiliti kesihatan di Johor mampu menampung peningkatan bilangan pesakit termasuk memastikan penggunaan ubat-ubatan yang cukup bagi merawat pesakit terbabit dalam tempoh itu.

“Kita akan membuat lawatan dan menjalankan penaksiran risiko kesihatan persekitaran PPS mangsa banjir yang dikenal pasti selain memberikan perkhidmatan kesihatan rawatan dan pencegahan di semua PPS.

“Kita juga akan mengenal pasti fasiliti-fasiliti kesihatan berisiko banjir dan menyediakan lokasi gantian untuk menwujudkan kesinambungan dalam proses perawatan pesakit,” katanya.

Mangsa banjir juga katanya, dinasihatkan sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri semasa banjir termasuk mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran dengan tidak membuang sampah di merata tempat yang boleh mendatangkan risiko penyakit dan pembiakan vektor.

“Semasa banjir, hujan akan menyebabkan bekas-bekas menakung air menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles. Ini menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan boleh merebakkan penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi, chikungunya dan malaria,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *