sayap dewan ulama pas

Penubuhan sayap kawasan perkukuh Dewan Ulama PAS

Oleh RIZQI ZABIDI

PENGUKUHAN Dewan Ulama PAS menerusi penubuhan sayap Dewan Ulama PAS di kawasan-kawasan bakal menjadi agenda utama Ketua Dewan Ulama PAS yang baharu, Datuk Ahmad Yahaya selepas ini.

Menurut Ahmad Yahaya, perkara tersebut pernah diusulkan dalam Muktamar PAS sebelum ini yang diyakini mampu mendatangkan banyak manfaat kepada parti masyarakat setempat.

Katanya, setiap sayap Dewan Ulama PAS di kawasan-kawasan itu juga diharapkan akan dapat bergerak aktif selepas ini.

“Keduanya sudah tentulah kita akan turut serta dalam membuat persiapan bagi membantu rakyat terjejas banjir ketika ini.

“Selain itu dalam keadaan semua pihak dapat ‘menghidu’ kehadiran pilihan raya yang kian dekat, jadi kita akan berusaha untuk terus memantapkan parti dari segala sudut,” katanya kepada Warta Rakyat hari ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu kelmarin diumumkan sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat bagi menggantikan Datuk Dr. Nik Zawawi Salleh yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II.

Mengulas lanjut Ahmad Yahaya berkata, pelantikannya itu dianggap tidak ubah seperti penyerahan ‘baton’ daripada kepimpinan Dewan Ulama PAS terdahulu bagi meneruskan kesinambungan sebelum ini.

“Menjadi pemimpin ini tidak bermakna kita mulia sebaliknya kemuliaan itu terletak pada tanggungjawab yang dipikul dan dilaksanakan itu.

“Sekarang ada 12 ahli jawatankuasa pusat yang dipilih dari pelbagai latar belakang, pengalaman dan pendidikan. Keberadaan mereka itu sememangnya munasabah bagi membantu memperkukuhkan organisasi ini,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *