israel gaza

Israel lancar serangan terhadap Gaza malam tadi

Rejim Zionis Israel menyerang kedudukan pejuang pembebasan Hamas di selatan Gaza lewat malam tadi selepas tembakan roket dilancarkan dari kawasan Palestin, kata sumber keselamatan dan tentera.

Memetik laporan AFP, tentera rejim Zionis Israel, dalam mesej ringkas kepada media memberitahu bahawa mereka ‘sedang melakukan serangan’ di Gaza, wilayah Palestin yang dikawal oleh pejuang pembebasan Hamas.

Pesawat tentera rejim Zionis Israel menyasarkan lokasi yang dikatakan diduduki oleh Briged al-Qassam di barat Khan Yunis di selatan Gaza, kata sumber Palestin kepada AFP.

Sumber itu turut melaporkan tembakan meriam ke atas pangkalan pemerhatian Hamas di utara Gaza.

Serangan berlaku selepas dua roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza pagi semalam dan jatuh di Laut Mediterranean, di luar pantai Tel Aviv.

Tentera Rejim Zionis Israel dalam satu kenyataan berkata, tiada siren dibunyikan dan sistem pemintasan roket ‘Iron Dome’ atau Kubah Besi Israel tidak digunakan.

Rejim Zionis Israel mengekalkan sekatan ke atas kawasan yang miskin itu sejak 2007 iaitu pada tahun Hamas mengambil alih kuasa.

Tahun lalu, Hamas melancarkan serangan roket bertalu-talu ke arah Israel ketika konflik 11 hari tercetus akibat ketegangan di Baitulmuqaddis.

Gencatan senjata yang longgar berkuat kuasa pada akhir Mei dan sejak itu hanya lima roket atau peluru mortar dilepaskan dari Gaza ke arah wilayah Israel.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *