JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya, buruk dan waspada yang dijangka berlaku di kebanyakan negeri sehingga Selasa ini iaitu 4 Januari.
MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa negeri-negeri itu adalah Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Amaran hujan sangat lebat berterusan peringkat bahaya diramalkan berlaku di Johor dengan membabitkan Daerah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru hari ini.
Amaran hujan lebat berterusan (buruk) pula dijangka berlaku di Pahang dengan melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin, selain seluruh Negeri Sembilan dan Melaka sehingga esok.
Ia turut melibatkan lima daerah di Johor iaitu Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi, serta Sabah iaitu di Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Menurut kenyataan itu lagi, hujan berterusan (waspada) dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan melibatkan Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh, manakala di Sabah pula melibatkan Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud) dan Sandakan (Kinabatangan) sehingga Selasa.
Situasi sama turut dijangka berlaku di Perak melibatkan Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, selain Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang akan berterusan sehingga esok. – BERNAMA
Leave a Reply