SAMBUTAN tahun baharu 2022 berskala besar seperti di padang awam atau di mana-mana kawasan terbuka di Pulau Pinang tidak dibenarkan sama sekali untuk dianjurkan.
Bagaimanapun, orang ramai masih boleh meraikan sambutan tahun baharu itu secara kecil-kecilan di tempat tertutup dan boleh dikawal penjarakan fizikal.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sofian Santong berkata, keputusan itu adalah berdasarkan arahan terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang melarang sambutan tahun baharu berskala besar di tempat terbuka dalam tempoh ketika ini.
Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya berharap orang ramai akan mematuhi arahan tersebut bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin apatah lagi Pulau Pinang sudah mencatatkan kes positif varian Omicron.
“Polis juga akan mengadakan operasi secara ‘omnipresence’ melibatkan semua jabatan bermula malam sambutan tahun baharu untuk memastikan arahan serta prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi semua pihak.
“Seramai 146 pegawai dan 821 anggota akan ditugaskan sepanjang operasi ini berlangsung bagi memastikan keselamatan awam terjaga,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.
Dalam pada itu Sofian berkata, polis turut menjangkakan berlaku peningkatan aliran trafik di Pulau Pinang sehingga 40 peratus bermula esok sehingga hujung minggu ini.
Jelas beliau, kawasan-kawasan tumpuan pelancong seperti di daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai juga dijangka berlaku kesesakan ekoran pertambahan pelancong.
“Sehubungan itu, kita meminta pemilik premis perniagaan makanan supaya mengehadkan jumlah pelanggan di dalam kedai dan memastikan SOP sentiasa dipatuhi.
“Anggota polis akan sentiasa berada di lokasi-lokasi ‘hot spot’ atau tumpuan pelancong untuk memantau keadaan dan memastikan orang ramai tidak bersesak-sesak,” katanya.
Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai merancang perjalanan ke Pulau Pinang dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang dan pematuhan SOP.
Leave a Reply