POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima tujuh laporan kes kecurian barangan milik mangsa banjir yang berlaku sepanjang bencana alam tersebut di kawasan Klang Utara bermula 18 Disember lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, kesemua laporan itu masih dalam siasatan pihaknya.
“Bagi mencegah kegiatan kecurian itu, pihak polis melakukan pemantauan secara kerap di kawasan terjejas banjir.
“Selain pemantauan dan rondaan cegah jenayah, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa menjaga harta benda masing-masing dan terus melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program gotong-royong memasak kepada warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang terjejas banjir, hari ini.
Smentera itu, Vijaya berkata, pihaknya menerima sebanyak 8,622 laporan polis berkaitan banjir.
“Setakat ini, kawasan di Klang Utara yang terjejas banjir telah pulih dan semua pusat pemindahan sementara ditutup sepenuhnya,” katanya.
Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, makanan yang dimasak secara bergotong-royong itu akan disumbangkan kepada 97 pegawai dan anggota yang terjejas banjir.
“Saya bersama warga IPD Klang Utara memasak makanan tengah hari untuk disumbangkan kepada pegawai dan anggota terlibat.
“Sekurang-kurangnya dengan apa yang dilakukan ini sedikit sebanyak dapat membantu pegawai dan anggota polis IPD Klang Utara yang terlibat banjir,” katanya.
Leave a Reply