Bomba selamatkan empat pendaki sesat di Gunung Lambak

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SERAMAI empat pendaki yang sesat ketika mendaki Gunung Lambak, Kluang berjaya diselamatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, hari ini.

Muhd. Hakimi Bakar, 23, Nurul Zahidah Zamri, 24, Nornatasya Carena Ishak 23, dan Yazid Harith Syarul Anuar, 22, berjaya ditemukan selepas beberapa jam tersesat dalam hutan.

Komander Operasi dari BBP Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Jusoh Mohd. Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.30 tengah hari.

Susulan itu katanya, tujuh anggota dengan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian didapati empat mangsa tersebut tersesat dalam hutan sebelum ditemui dalam keadaan selamat. Pihak bomba bertindak menggunakan tangga untuk mangsa menyeberangi gaung sedalam 9.1 meter.

“Mereka semuanya berjaya diselamatkan dan operasi tamat pada pukul 1.43 petang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *