ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan mengatur gerak anggota dan aset ke 86 lokasi di seluruh negara bagi membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi-agensi berkaitan bagi menghadapi gelombang kedua banjir.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah itu diambil berikutan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai kemungkinan berlakunya hujan berterusan bermula semalam hingga 6 Jan ini yang berupaya menyebabkan berlaku gelombang kedua banjir di beberapa negeri.
“Secara keseluruhan ATM akan mengatur gerak seramai 115 pegawai dan 2,768 anggota Lain-Lain Pangkat. Selain itu sejumlah enam unit trak tujuh tan, 160 unit trak tiga tan, 129 unit bot dan 109 unit enjin bot telah bersiap sedia menghadapi gelombang kedua banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Pengkalan Chepa, di Koa Bharu hari ini.
Hishammuddin berkata ATM telah melaksanakan enam pendekatan dalam menghadapi bencana banjir ketika ini.
“Enam pendekatan itu adalah satu Batalion sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap siaga di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan, ATM juga mengatur gerak pegawai bertanggungjawab ke semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Daerah.
“Selain itu pasukan perubatan ATM juga dalam keadaan sedia bagi melaksanakan bantuan perubatan dan kawalan pencegahan jangkitan COVID-19 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). ATM juga merancang koordinasi bantuan pesawat udara ATM,” katanya.
Beliau berkata ATM turut memastikan hospital dan poliklinik ATM sentiasa dalam keadaan siap siaga.
“ATM juga menambah bilangan anggota bagi melaksanakan operasi menghantar barang keperluan serta makanan ke pusat pemindahan sementara serta kawasan yang terputus hubungan jalan darat serta memasak di PPS,” katanya.
Menurutnya perancangan ATM ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut situasi banjir di sesebuah negeri dan sesuatu kawasan.
“Saya serta kepimpinan tertinggi ATM dan MINDEF (Kementerian Pertahanan) akan memastikan ATM terus melakukan segala usaha yang terdaya demi memelihara keselamatan rakyat sepanjang musim banjir ini,” katanya.
— BERNAMA
Leave a Reply