TIMBALAN Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain mendedahkan, seramai 804 penjawat awam yang terlibat dengan kesalahan berkaitan dadah ditahan sejak 1 Januari hingga 30 November lalu.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut seramai 346 pegawai dan anggota polis serta 104 anggota Angkatan Tentera Malaysia telah ditahan.
“Kita turut 14 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan 340 daripada agensi serta jabatan kerajaan lain,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), hari ini.
Razarudin berkata, jumlah tangkapan melibatkan penjawat awam membabitkan kesalahan dadah tahun ini menunjukkan penurunan berbanding 1,042 tangkapan tahun lalu.
“Jumlah pegawai dan anggota polis yang ditahan pada tahun ini juga menunjukkan penurunan di mana seramai 408 telah ditangkap pada tahun lalu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai jabatan Polis Diraja Malaysia termasuk Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut melakukan pemeriksaan mengejut seperti ujian air kencing terhadap semua pegawai dan anggotanya.
“Masalah ini masih di tahap terkawal kerana kita sentiasa menjalankan pemeriksaan ke atas pegawai dan anggota polis.
“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dengan sebarang jenayah terutama melibatkan dadah tanpa rasa takut atau pilih kasih,” jelasnya.
Leave a Reply