KESEMUA 10 buah hospital medan yang dibina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi merawat pesakit Covid-19 di seluruh negara telah ditutup berikutan pengurangan ketara pesakit itu.
Ia termasuk dua buah hospital medan itu yang dibina di Pulau Pinang iaitu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan ICU Hospital Medan Kepala Batas yang ditutup secara rasmi bermula hari ini.
Menurut Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri, dua hospital medan ATM di Pulau Pinang itu merupakan yang terakhir di tutup selepas kes positif Covid-19 di negeri tersebut menunjukkan penurunan ketara hasil kejayaan dan keberkesanan program vaksinasi.
Jelas beliau, sejak beroperasi pada 28 Mei lalu, ICU Hospital Medan ATM Kepala Batas berjaya merawat seramai 421 pesakit Covid-19 dengan 381 daripadanya telah sembuh.
“Bagi hospital medan ATM di HPP pula, seramai 499 pesakit berjaya dirawat di situ dalam tempoh 97 hari beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Simbolik Penutupan Hospital-Hospital Medan ATM di HPP hari ini.
Hospital medan HPP mula dibina pada 16 September lalu bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang dirawat di HPP dab beroperasi sepenuhnya pada 24 September lalu dengan pesakit pertamanya ialah seorang warga emas berusia 60 tahun.
Ia adalah hospital medan yang kesembilan dibina oleh ATM serta yang kedua dibina di Pulau Pinang selepas di Hospital Kepala Batas.
Hospital Medan ATM itu dibina bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) merawat pesakit Covid-19 yang mana penggunaan katil di hospital KKM ketika fasa kemuncak pandemik tersebut telah melebihi kapasiti 90 peratus.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Huzaimi berkata, ATM bersedia membuka semula operasi hospital medan itu sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian pada masa depan.
Bagaimanapun ujar beliau, setakat ini pihak ATM tidak menerima sebarang arahan untuk membuka kembali operasi hospital medan tersebut.
Leave a Reply