SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan One Hope Charity and Welfare menderma kira-kira 190 buah katil baharu kepada Hospital Kulim, Kedah dalam usaha membantu hospital kerajaan menambah baik aset serta mutu perkhidmatan mereka.
Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, sumbangan melibatkan kos sebanyak RM200,000 itu juga dibuat atas keprihatinan pihaknya terhadap peralatan usang dan lama yang masih diguna pakai di hospital tersebut.
Jelas beliau, sumbangan kepada Hospital Kulim itu memandangkan sebahagian besar katil bukan sahaja usang, malah ada yang tidak praktikal untuk dikoordinasikan bersama peralatan perubatan lain.
Katanya, walaupun katil hospital itu dianggap antara peralatan ringkas, namun tetap memainkan peranan besar dalam memberi keselesaan kepada pesakit.
“Pada masa sama, sumbangan ini juga diharap dapat memberi kemudahan kepada petugas perubatan dalam menjalankan tugas mereka terutama sewaktu pendamik Covid-19.
“Sumbangan peralatan perubatan dan kos perubatan yang ditanggung oleh One Hope Charity and Welfare kepada khalayak ramai selama ini adalah hasil daripada derma orang awam dan kita amat berterima kasih kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumbangan itu yang dibuat oleh Sui Hua dalam satu majlis baru-baru ini diterima Pengarah Hospital Kulim, Dr. Fauziah Abdul Wahab.
Sui Hau berkata, sumbangan itu juga dibuat selepas mengambil kira kesukaran bagi sesebuah hospital kerajaan untuk mendapatkan aset-aset baharu disebabkan prosedur serta langkah-langkah permohonan aset yang memakan masa panjang.
Leave a Reply