Dua keluarga terima kontena sumbangan Skuad Prihatin Bersatu

DUA keluarga yang rumah mereka  di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat musnah akibat bencana banjir baru-baru kini tinggal sementara di dua buah kontena yang disumbangkan oleh  Skuad Prihatin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sumbangan  dua kontena yang diumumkan oleh beliau semalam sudah diterima termasuk salah satunya hari ini.

‘’Kontena sumbangan itu akan dijadikan tempat tinggal sementara dua keluarga terlibat setelah rumah mereka dibawa arus dalam kejadian banjir besar minggu lalu,’’ katanya melalui Facebook beliau hari ini.

Beliau berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit beban kepada keluarga terlibat yang kehilangan tempat berlindung dalam sekelip mata  minggu lalu.

‘’Skuad Prihatin Bersatu akan meneruskan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara dengan tumpuan kepada kerja-kerja membersihkan rumah dan memberi bantuan berupa barangan makanan harian, peralatan keperluan dapur serta barangan keperluan bayi dan kanak-kanak,’’ katanya.

Muhyiddin memberitahu, dana yang diterima oleh Tabung Bencana Banjir Bersatu yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini telah digunakan untuk membantu mangsa-mangsa terlibat. ‘’Selain itu  tabung tersebut turut menerima sumbangan daripada orang perseorangan dan para dermawan lain.

‘’Sekali lagi saya menyeru marilah sama-sama kita membantu dan menyumbang dalam apa cara cara dan bentuk sekali pun yang termampu bagi membantu mangsa bancana alam ini membina kembali kehidupan mereka terutama selepas banjir berakhir.

‘’Kepada para sukarelawan dan petugas barisan hadapan teruskan kerja-kerja murni ini, insya-Allah anda semua akan dilindung dan diberkati Allah SWT,’’ katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *