Sangka bunyi kucing rupanya tangisan bayi di pondok

SEORANG wanita menyangka bunyi kucing dari sebuah pondok berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Tayor Sungai Tong, Permaisuri, tengah malam tadi, namun terkejut apabila mendapati itu adalah tangisan seorang bayi.

Wanita berusia 34 tahun itu yang menemukan bayi itu pada pukul 12.20 tengah malam kemudian melarikan diri kerana ketakutan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, wanita itu dan seorang lagi rakan mengambil keputusan kembali ke pondok berkenaan pada jam 6 pagi.

“Mereka datang untuk membuat pengesahan dan menemui bayi yang hanya beralas dengan kain tudung masih berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Afandi berkata, bayi itu dibawa rumah pengadu di Kampung Teris, Kuala Berang, Hulu Terengganu sebelum wanita itu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Pihak polis bergegas ke rumah wanita yang juga pengadu sebaik menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu pukul 6.40 pagi,” katanya.

Beliau berkata, bayi itu dibawa ke Hospital Hulu Terengganu namun dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *