SEORANG pekerja disahkan maut dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah tongkang di Gat Lebuh Macallum, Pengkalan Weld, Pulau Pinang kira-kira pukul 10.45 pagi tadi.
Mangsa, Yaser Abdullah, 60, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas kira sejam dikejarkan ke hospital.
Dalam kebakaran itu, lima lagi kru tongkang yang masing-masing berusia antara 35 hingga 72 tahun dilaporkan mengalami kecederaan melecur pada bahagian tangan.
Mereka ialah Lee Hock Kheng; Mohd. Din Awang Senik; Yeap Yu Poo; Lee Eng Hock; dan Mohd. Bukri Rahim.
Difahamkan ketika kejadian, kesemua mereka sedang membaiki tongkang berkenaan sebelum tiba-tiba berlaku letupan.
Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, Mohamad Yahaya Murad berkata, mangsa yang maut sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital.
Katanya, kebakaran itu melibatkan sebuah tongkang dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 20 peratus.
“kebakaran dapat dikawal pukul 11.08 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pukul 11.30 pagi.
“Operasi pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela (PBS) berdekatan dan kerja-kerja ‘overhaul’ masih dijalankan,” katanya.
Leave a Reply