Lelaki warga emas hilang ketika mencari lokan di sungai

SEORANG lelaki warga emas hilang ketika mencari lokan di Sungai Kanawai, Sundar, Lawas pukul 7 malam tadi.

Mangsa, Amit Matasan, 71, pada mulanya keluar bersama-sama rakannya, Roseli Sahari, 49. pada pukul 6 pagi untuk mencari lokan di sungai berkenaan dengan menggunakan bot gentian kaca.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pada pukul 2.40 petang mereka kemudiannya bergerak berasingan dan berjanji untuk bertemu semula di satu lokasi.

“Bagaimanapun, sehingga 7 malam, mangsa tidak muncul di tempat yang dijanjikan dan rakannya kemudian pulang namun mendapati mangsa tiada di rumah

“Berikutan itu, Roseli membuat laporan kehilangan Amit di Balai Polis Sundar pada 8.40 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jurucakap itu memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan membabitkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas.

“Operasi terpaksa ditangguhkan pada 10.30 malam tadi berikutan keadaan gelap dan pencarian disambung semula 7 pagi ini.

“SAR hari ini turut dibantu penduduk kampung dengan tumpuan pencarian di permukaan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *