abd latiff ahmad banjir

Dr Latiff turun padang senyap-senyap tanpa konvoi, liputan media

MACAM-MACAM ragam yang ditunjukkan oleh mereka yang turun padang membantu mangsa banjir yang terjejas di sekitar lima negeri.

Ada yang datang berkonvoi, lengkap dengan liputan media dan ada juga yang tiba-tiba menjadi tular seperti Abang Viva.

Tidak kurang juga yang datang senyap-senyap secara bersendirian tanpa diiringi pegawai atau penyokong yang berduyun-duyun walaupun bergelar menteri Kabinet.

Salah seorang daripada mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Semalam, beliau membuat ‘kejutan’ apabila datang secara solo tanpa protokol dan dikerumuni media bagi membantu dan mendengar keluhan penduduk di sekitar Kampung Labohan Dagang di Banting, Selangor.

Seperti yang dikongsikan oleh aktivis Bersatu, Badrul Hisham Shaharin dalam laman Facebook miliknya hari ini, Abd Latif yang tiba pada waktu pagi turut menyumbang tenaga membersihkan rumah penduduk sambil mendengar sendiri dari mulut mangsa banjir tentang apa yang mereka perlukan.

“Menurut staff pejabatnya rupanya Dr Latiff ni memang suka turun jumpa orang dengar sendiri tanpa protokol dan media ramai ramai.

“Dia datang nak bantu sama sumbang tenaga sambil dengar sendiri dari mulut mangsa banjir mengenai keperluan dan sebagainya. Bukan tuan rumah dan jiran jirannya sahaja terkejut … kami sendiri terkejut….

“Dekat dua jam setengah juga Dr Latiff sama operasikan pembersihan dan ketika kami berhenti makan tengahari sebelum balik Dr Latiff sempat bersama seorang staffnya, dia bertandang ke rumah rumah untuk mendengar sendiri perbagai perkara ada beberapa kediaman yang teruk dan sangat memerlukan mendapat sumbangan peribadi Dr Latiff,” jelasnya dalam hantaran tersebut.

Gambar: Facebook Che’gu Bard

Malah, Dr Abd Latiff turut mengusahakan supaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menghantar sebuah lori besar pada waktu petang bagi mengangkut keluar barangan milik penduduk yang rosak akibat banjir.

Berhubung kerja-kerja kesukarelaan yang memasuki hari ketujuh semalam, Che’gu Bard menambah, pasukannya menumpukan di kawasan sekitar Jalan Haji Amin, Kampung Labohan Dagang.

“Banjir telah surut di kawasan rumah namun kena harung air untuk sampai ke kawasan rumah. Tak banyak rumah mampu dibersihkan kerana team kami bersih habis termasuk pinggan dan lain lain.

“Sebab tumpuan kami bantu rumah milik orang kurang upaya (OKU), orang sakit kritikal dan warga emas yang tak mampu bersih rumah sendiri,” katanya.

Sebelum itu, pasukan berkenaan telah menjalankan kerja-kerja membantu mangsa banjir di lokasi-lokasi lain yang terjejas.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *